Permohonan Fasa 2 UPUOnline bermula hari ini

2 weeks ago 30

PETALING JAYA – Permohonan Fasa 2 UPUOnline® bagi kemasukan pelajar Sesi Akademik 2024/2025 ke program Asasi, Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda dibuka bermula hari ini hingga 9 Jun depan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataannya memaklumkan, kemasukan tersebut adalah di 20 Universiti Awam (UA), 36 Politeknik, 105 Kolej Komuniti dan empat Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

“Permohonan ini hanya dibuka bagi program pengajian yang tidak bertemu duga atau ujian sahaja. Semua calon berkelayakan dipelawa mengambil peluang ini bagi
menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

“Sebanyak 504 program pengajian ditawarkan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 1,114 program pengajian ditawarkan kepada lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau setaraf oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA seluruh negara,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Calon boleh membuat pembelian Nombor PIN UPUOnline melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 28 Februari 2024 sebelum mengemukakan permohonan.

“Kaedah Bayaran Proses UPUOnline® di BSN melalui 350 Kaunter Cawangan BSN, 700 Automatic Teller Machine (ATM) BSN dan Perbankan Internet myBSN. BSN akan
mengeluarkan Nombor Pin UPUOnline® berserta salinan resit pembayaran.

“Calon dinasihatkan untuk pastikan slip pembayaran sebagai bukti sah pembelian disimpan untuk rujukan. Bagi calon yang telah membuat pembelian nombor PIN pada Fasa 1 juga boleh mengemas kini permohonan ketika Fasa 2 ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, KPT akan menganjurkan Program Jom Masuk U 2024 (JMU2024) bermula 4 Mei hingga 9 Jun di 10 zon seluruh negara bertujuan mempromosi maklumat
program pendidikan ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi di bawah KPT.

Ia menyasarkan kumpulan pelajar yang menduduki SPM, STPM, Matrikulasi, Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma/Setaraf.

Majlis Perasmian JMU2024 akan dilaksanakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar dan majlis penutupnya di UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu.

Sepanjang program JMU2024, calon-calon lepasan SPM dan STPM/Setaraf turut boleh memohon dan mengemas kini permohonan UPUOnline® dibuka pada permohonan Fasa 2 mulai hari ini (12 tengah hari) hingga 9 Jun 2024 (5 petang). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article