Ekonomi : Kopa Group Dari Malaysia Sasar Tembusi Lebih Banyak Negara Eropah, Termasuk Jerman 

2 months ago 44

Daripada D. Arul Rajoo

BERLIN, 14 Mac (Bernama) -- Pengeluar pakaian dari Malaysia, Kopa Group, menyahut cabaran untuk menembusi lebih banyak pasaran di Eropah, termasuk Jerman, negara pengeluar jenama sukan terkenal Adidas dan Puma.

Ketua Pegawai Kewangannya Nik Mohd Rizal Nik Ibrahim berkata walaupun masih baharu dalam industri, namun syarikat itu yakin untuk meneroka pasaran yang lebih luas dengan menampilkan produk pakaian sukan dan korporat yang berkualiti dengan reka bentuk mengikut fesyen terkini.

"Pada masa ini kami mempunyai pengedar di United Kingdom, Perancis, Indonesia dan Kemboja. Kami berharap kehadiran kami di sini akan memberi pendedahan yang lebih besar kepada kami," katanya ketika ditemui di reruai Malaysia pada acara SME Future Day 2024, di sini.

Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucap tama pada ekspo perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbesar di negara itu yang dianjurkan German Association for Small and Medium-sized Businesses (BVMW).

Kopa Group merupakan satu daripada enam syarikat Malaysia yang menyertai ekspo tersebut, selain Marniq Bersatu Sdn Bhd, Primelux Energy Sdn Bhd, Ade Azhar Trading Sdn Bhd, Marrybrown dan Old Town White Coffee.

Menurut Nik Mohd Rizal, syarikat itu yang mampu mengeluarkan 120,000 helai jersi setiap tahun menerima banyak maklum balas daripada pengunjung di ekspo tersebut termasuk dari negara Eropah dan Amerika Selatan.

“Sebuah syarikat dari Bolivia sangat kagum dengan produk kami dan mahu menempah satu juta helai. Kami akan mengadakan perbincangan lanjut dengan mereka sebelum memuktamadkan janji niaga ini,” katanya.

Pakaian sukan Kopa Group diedarkan di bawah nama KakiJersi dan syarikat itu mempunyai kilang di Batu Caves.

Mohd Rizal berkata tudung jenama Belhams yang dikeluarkan syarikatnya sudah pun diedarkan di Perancis, Indonesia dan Kemboja, dan mereka berharap untuk mencari pembeli di Jerman, yang mempunyai kira-kira 5.5 juta orang Islam.

Sementara itu, Presiden kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Aria Putera Ismail  berkata penyertaan bank berkenaan dalam ekspo tersebut adalah salah satu pendekatan yang diambil untuk membantu PKS Malaysia menembusi pasaran antarabangsa.

“Peranan kami bukan sahaja menyediakan pinjaman tetapi juga latihan berkaitan eksport dan mencari pasaran baharu. Kami telah mewujudkan Program Eksport Perniagaan (BEP) untuk tujuan ini,” katanya.

Walaupun diberitahu dalam masa yang singkat untuk menyertai ekspo tersebut,  Aria Putera berkata syarikat-syarikat menerima maklum balas yang positif daripada bakal pembeli. “Ini sudah tentu akan meningkatkan semangat PKS kita dalam usaha mereka untuk menghasilkan produk berkualiti dan meneroka pasaran baharu,” katanya.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Read Entire Article