Am : Program Eco-schools Turut Rai Penglibatan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas

6 months ago 36

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama anakanda, Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana yang juga Penaung Diraja Program Eco-Schools Pahang menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Eco-Schools dan GEP Roadmap 2030 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh disini hari ini. Turut kelihatan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tiga dari kiri) dan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying (tiga dari kanan).

TEMERLOH, 6 Nov (Bernama) -- Program Eco-Schools turut meraikan penglibatan murid berkeperluan pendidikan khas dan menawarkan skema intervensi berbeza yang disesuaikan dengan tahap kefungsian murid dan sokongan yang diperlukan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata ia sekali gus jelas menunjukkan bahawa program Eco-Schools melengkapkan ekosistem pendidikan negara selain menjamin peluang saksama kepada semua penerima manfaat yang membantu mencapai kemenjadian murid. 

“Dalam usaha untuk menoktahkan keciciran dalam pendidikan, nasib dan hak murid berkeperluan pendidikan khas harus tetap dipelihara dan diperkasa kerana mereka juga layak untuk mendapatkan akses terhadap pendidikan yang berkualiti,” katanya.

Fadhlina berkata demikian menerusi ucapan Majlis Perasmian Program Eco-Schools Malaysia dan Peta Hala Tuju Usaha Sama Penghijauan Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 (UN GEP2030) di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh di sini hari ini.

Teks ucapan Fadhlina dibacakan Timbalannya Lim Hui Ying. 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan perasmian program berkenaan.

 Turut berangkat anakanda Seri Paduka, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana selaku Penaung Diraja Program Eco-Schools Pahang. 

Fadhlina berkata program Eco-Schools juga mendedahkan elemen pembelajaran berasaskan inkuiri dan kepimpinan muda selari dengan hasrat falsafah pendidikan negara, yang dilihat dapat menjamin ketersediaan generasi pelapis yang berwibawa dan berkebolehan. 

Metodologi Eco-Schools, menurut beliau menekankan elemen integrasi kurikulum yang menerapkan elemen pendidikan alam sekitar dalam sukatan pembelajaran kebangsaan, juga dapat membantu menjadikan pembelajaran sebagai aktiviti menyeronokkan dan bermakna buat murid. 

Selain itu, sekolah Eco-Schools dijamin akses kepada bahan bantu belajar yang berkualiti daripada pangkalan data global Yayasan Pendidikan untuk Alam Sekitar serta jaringan dan jalinan antarabangsa daripada lebih 95 negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Read Entire Article