LIMA 25 ketengah beberapa segmen baharu

1 month ago 67

KUALA LUMPUR – Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LlMA 25) yang akan dianjurkan pada 20 hingga 24 Mei tahun depan bakal mengetengahkan beberapa segmen baharu bagi menarik lebih banyak penyertaan terutama daripada perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, segmen baharu itu bertujuan mengetengahkan kepentingan pemain-pemain industri untuk sentiasa berinovasi dan meningkatkan daya saing, seiring dengan perkembangan teknologi yang kian pesat.

“Kita juga menggalakkan penyertaan daripada institusi pengajian tinggi kerajaan dan swasta yang memiliki kepakaran industri aeroangkasa dan maritim untuk menyertai LIMA 25.

“Ini merupakan hasrat dan inisiatif daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk menjadikan LIMA 25 sebagai sebuah pusat perkembangan industri dan pembangunan sumber manusia,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran LIMA 25 di Wisma Perwira di sini semalam.

Yang turut hadir pada majlis tersebut, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.

LIMA yang mula diperkenalkan pada 1991 kini memasuki edisi ke-17 bakal diadakan pada 20 hingga 24 Mei tahun depan dengan membawa tema ‘Innovate Today, Thrive Tomorrow’ akan diadakan di Pulau Langkawi, Kedah.

Dalam pada itu Adly berkata, LIMA 25 merupakan anjuran bersama Mindef bersama Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) dan turut menjalinkan kolaborasi strategik bersama Arabian World Events, QUBE Integrated Malaysia Sdn Bhd, SHP Media Sdn Bhd, Curio Pack Sdn Bhd, Malaysian Aerospace Industry Association (MAIA) dan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MiGHT).

“GEC masih berterusan berbincang bersama dengan rakan strategik lain, yang berpotensi untuk membawa LIMA 25 ke tahap yang mampu memberikan impak positif kepada negara dan juga industri.

“Pameran kali ini telah mendapat sambutan awal yang menggalakkan oleh syarikat dari dalam dan luar negara, sehingga kini sebanyak 11 syarikat telah menyatakan penyertaan mereka walaupun LIMA 25 baru sahaja dilancarkan hari ini.

“Ia membuktikan bahawa pameran LIMA ialah sebuah acara yang dinanti-nantikan oleh pemain tempatan dan antarabangsa dalam industri aeorangkasa dan maritim,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article