UDA santuni 91 kanak-kanak asnaf, beli kelengkapan Aidilfitri

1 month ago 43

JOHOR BAHRU: Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, syarikat pembangunan hartanah UDA Holdings Berhad (UDA) menyantuni 91 anak golongan asnaf dari Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd. Salem Kailany berkata, program Sinar Ramadan UDA 2024 itu merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya.

Sebanyak RM30,000 wang zakat wakalah UDA diagihkan kepada semua penerima dengan setiap seorang menerima RM300 dalam bentuk barangan kelengkapan Aidilfitri.

“Sumbangan zakat menerusi UDA Cares ini adalah tanda keprihatinan kami untuk menyumbang semula kepada komuniti setempat, mengeratkan hubungan, seterusnya meningkatkan kesejahteraan masyarakat. 

“Semoga sumbangan ini dapat membantu anak-anak asnaf membuat persiapan menjelang  Syawal, sekali gus menjadikan sambutan lebaran mereka lebih ceria serta bermakna.

“Bantuan ini selari dengan prinsip penjenamaan baharu UDA iaitu ‘L.I.F.E.’, akronim bagi Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa) yang menterjemahkan komitmen UDA mendukung aspirasi kelestarian negara dengan menumpukan kepada aktiviti sosial dan ekonomi bagi meningkat taraf hidup, menyediakan peluang, kecekapan operasi dan CSR,” katanya dalam program yang diadakan di pusat beli-belah Angsana Johor Bahru Mall.

Yang turut hadir Naib Presiden Kanan Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA, Mohd. Nazri Jamiran; Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru Mall, Imran Salleh; Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn. Bhd., Muhammad Ismail Dasuki dan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan UDA, Radziah Mohamed Fadzil.

Selain menerima kelengkapan Aidilfitri seperti baju Melayu, baju kurung, sampin, butang, songkok dan tudung, mereka turut dirai dalam majlis berbuka puasa.

Sementara itu, salah seorang penerima sumbangan, Ammar Islam Nur Ali Elias, 17, terharu setelah menerima sumbangan berbentuk kelengkapan Aidilfitri lengkap.

“Saya terharu kerana bukan sahaja dapat pakaian baharu, tetapi juga songkok, sampin dan sandal. 

“Aidilfitri tahun ini saya akan beraya bersama rakan-rakan di Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh. Bukan saya sahaja tetapi bersama seorang adik dan seorang abang yang turut tinggal di sana,” katanya yang baharu menetap di situ sejak enam bulan lalu. – UTUSAN

Read Entire Article