UDA perluas cabang perniagaan pelaburan dan pengurusan harta

1 month ago 98

PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited memperluas cabang perniagaan pelaburan dan pengurusan harta melalui pengoperasian Terminal Bas Sungai Nibong di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

UDA menerusi Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA (UDA PIMD) menjalinkan kerjasama strategik dengan Easybook (M) Sdn. Bhd, (Easybook), syarikat yang membekal Sistem Pengurusan Terminal, Sistem Tiket Berpusat serta Sistem Jualan Tiket Dalam Talian bagi menguruskan terminal tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Sr. Mohd. Salem Kailany, berkata, UDA optimis meneroka peluang mengendalikan Terminal Bas Sungai Nibong bersama Easybook dalam usaha mengembangkan salah satu cabang perniagaan pelaburan dan pengurusan harta.

“Usaha ini merupakan salah satu strategi UDA dalam membangunkan semula serta memodenkan infrastruktur di kawasan bandar seterusnya mewujudkan kehidupan yang harmoni dan menyumbang ke arah kesejahteraan komuniti setempat, seiring dengan konsep penjenamaan UDA; LIFE iaitu Legasi, Integrasi, Ketelitian dan Memperkasa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, inisiatif tersebut turut bertepatan dengan fokus UDA dalam mempergiat aktiviti keusahawanan dengan menyediakan ruang niaga kondusif.

“Terminal tersebut mempunyai sembilan ruang niaga, satu medan selera dan UDA turut merancang menambah gerai jualan (kiosk) bagi membantu lebih ramai usahawan terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mengembangkan dan menjalankan perniagaan di lokasi strategik, sekali gus melahirkan usahawan berdaya saing,” ujarnya.

Selain itu, beliau berharap langkah proaktif itu selari dengan hasrat meneruskan Legasi dan bergerak ke arah kelestarian UDA serta menyumbang kepada perpaduan dan pembangunan ekonomi di negeri Pulau Pinang dan memperkasa Ekonomi Madani.

Tambahnya, projek menaik taraf dan pengurusan operasi Terminal Bas Sungai Nibong yang berkeluasan 42,112 kaki persegi itu antaranya, meliputi kerja-kerja membaik pulih dan mengubah suai bangunan terminal.

“Ia juga melibatkan kerja-kerja membina bangunan tambahan, membaik pulih kawasan tempat letak kereta serta menambaik baik sistem tempat letak kereta, sistem pengurusan terminal serta sistem jualan tiket merangkumi pelaksanaan sistem tiket berpusat dan jualan tiket dalam talian,” katanya

Pada 2020, Easybook berjaya memperoleh tender bagi projek menaik taraf dan menguruskan Terminal Bas Sungai Nibong yang telah dibina pada tahun 2004 itu serta menawarkan usaha sama dengan UDA. – UTUSAN

Read Entire Article