Peruntukan tambahan RM30 juta SPUMI Goes Big perkasa usahawan India

1 month ago 55

KUALA LUMPUR – Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) mengumumkan peruntukan tambahan RM30 juta menerusi pelancaran Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big), hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, peruntukan untuk usahawan masyarakat India itu boleh dimohon mulai 15 April ini.

Katanya, pendaftaran boleh dibuat di semua cawangan Tekun seluruh negara dengan tempoh kelulusan tujuh hari bekerja.

“Ini peluang terbaik untuk perkasakan diri dalam sektor kontraktor kecil, pertanian dan perusahan asas tani, peruncitan, perkhidmatan, pembuatan dan perniagaan atas talian.

“Dijangka lebih 2,000 orang usahawan akan dapat manfaat daripada peruntukan ini,” katanya ketika sidang akhbar pelancaran SPUMI Goes Big di Ibu Pejabat Tekun, di sini hari ini.

Menurutnya, pembiayaan itu terbuka kepada semua usahawan berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Usahawan yang pernah terima skim ini akan diberi keutamaan untuk pembiayaan lebih besar dari RM50,000 hingga RM100,000 selain kemudahan lain menerusi agensi di bawah Kuskop”, ujarnya.

Sehingga Mac 2024, SPUMI Goes Big telah memanfaatkan seramai 28,808 orang usahawan India menerusi pembiayaan SPUMI sedia ada dengan nilai RM450.5 juta.

Dalam masa sama, beliau turut mengumumkan pelantikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George sebagai Lembaga Pengarah Tekun.

Selain itu, ADUN Batu Uban, Kumaresan Aramugam pula dilantik sebagai Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article