Pembiayaan AIM tingkatkan perniagaan halia Musyrif

1 month ago 80

KEPALA BATAS: Noraziani Pisol telah memulakan perniagaan memproses produk halia berjenama Musyrif pada tahun 2011 untuk meningkatkan pendapatan keluarganya.

Produk halia Musyrif ramuan tradisional ini mampu untuk membuang angin, kolestrol, melancarkan peredaran darah, menambah tenaga, tenaga batin, stamina, hormon, mencegah sembelit, meningkatkan kesihatan dalaman, amat sesuai untuk seisi keluarga.

Mulanya hanya menyewa di Pusat Pengumpulan Ladang FAMA Tasek Gelugor Pulau Pinang, perniagaan beliau kini telah mempunyai premis sendiri yang didirikan di atas sebidang tanah di Lahar Kepar, Kepala Batas sejak 2022.

Premis sendiri ini membolehkannya menempatkan pelbagai fasiliti mesin untuk membantu menghasilkan produk secara skala lebih besar yang membantunya meningkatkan jualan.

“Dengan premis ini, kami mampu meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran bagi lima jenis produk Musyrif iaitu Halia O, Halia Madu, Zanjabil Black Coffee, Halia Madu Tongkat Ali dan Halia Madu Kacip Fatimah Manjakani. Selain itu, kami juga mengeluarkan berbagai jenis lagi produk yang berasaskan halia iaitu sabun halia dan sebagainya.

“Produk ini dijual di pasaraya-pasaraya dan kedai-kedai runcit dalam botol bersaiz 300 gram, dengan kadar harga di antara RM25 ke RM42 sebotol, selain itu kami juga menggunakan platform media sosial seperti Instagram, Facebook, TikTok dan Shopee,” katanya

Menceritakan pengalaman ketika mula berjinak-jinak dengan perniagaan, Noraziani berkata beliau berhadapan dengan masalah ketidakcukupan modal pusingan untuk memenuhi permintaan pelanggan dan membuat pembayaran kepada pembekal.

Justeru, beliau amat bersyukur diperkenalkan dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 2011 yang banyak memberi sokongan dan bantuan kewangan yang diperlukan.

“Pada mulanya saya hanya mendapat pembiayaan sebanyak RM3,000 untuk membantu mengatasi sebahagian kecil masalah saya, namun setelah 13 tahun berlalu, AIM telah memberi pembiayaan sebanyak 26 kali dengan jumlah keseluruhan bernilai hampir RM156,000.

“Bantuan AIM ini banyak membantu usahawan mikro seperti saya untuk meningkatkan pendapatan dan keluar daripada kepompong kemiskinan,” tambahnya.

Noraziani juga mempunyai perancangan masa hadapan untuk mengeluarkan produk serbuk halia dalam bentuk sachet bersaiz 20 gram atas permintaan orang ramai.

“Dengan tumpuan kepada gaya hidup untuk kekal aktif dan serba pantas, pelanggan mahukan suplemen mereka dalam pembungkusan yang cukup mudah alih untuk dimasukkan ke dalam beg dan meminimumkan jumlah ruang yang digunakan.

“Bentuk sachet juga mereka mempunyai reka bentuk yang lebih kecil dan efisien yang membolehkan lebih banyak produk boleh diletakkan di atas rak berbanding botol atau kotak.

Saya harap pendekatan ini akan dapat membantu menarik pelanggan-pelanggan baharu sekaligus dapat meningkatkan jualan dan memperkembangkan perniagaannya,” jelasnya.

Kami juga membuka peluang kepada sesiapa yang ingin menjadi pengedar dan pemborong bagi pasaran produk Musyrif. Jika berminat boleh hubungi Puan Anie 011-12421878/018-7869599. – UTUSAN

Read Entire Article