Ekonomi : Sme Bank, Jpdc Jalin Kerjasama Tingkat Penyertaan Usahawan Pks Dalam Industri Minyak Dan Gas

1 month ago 45

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- SME Bank dan Johor Petroleum Development Corporation Bhd (JPDC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkasakan pelaburan dan meningkatkan penyertaan usahawan perusahaan kecil (PKS) dan sederhana dalam industri minyak dan gas hiliran tempatan.

JPDC merupakan agensi utama Kerajaan Persekutuan yang menyelia perancangan dan penyelarasan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), Johor.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Dr Aria Putera Ismail berkata pihaknya dan JPDC bersedia memanfaatkan kepakaran bersama bagi memupuk pengembangan perniagaan dan keusahawanan tempatan, bukan sahaja di Pengerang tetapi juga wilayah lain di negeri Johor dan seterusnya.

“Di dalam MoU ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam mengenal pasti dan memupuk prospektif vendor dari Pengerang, Johor, dan Malaysia, menawarkan mereka bimbingan dalam pengurusan perniagaan dan kewangan, akses kepada pembiayaan, serta perkhidmatan sokongan penting lain.

"Usaha ini bertujuan untuk melengkapkan kontraktor tempatan dengan kemahiran dan keupayaan yang diperlukan untuk berkembang maju dalam industri minyak dan gas hiliran, petrokimia dan kimia dalam PIPC," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam majlis pemeteraian MoU itu, SME Bank diwakili Aria Putera, manakala JPDC diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya Izhar Hifnei Ismail, disaksikan Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim.

Pada majlis itu, Izhar Hifnei turut menyampaikan surat lantikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR) Amirul Imran Ahmat.

CEDAR merupakan pusat yang menyediakan latihan tersuai dalam pembinaan kapasiti perniagaan di bawah Program Pembangunan Kontraktor (CDP).

Sementara itu, Izhar Hifnei berkata CDP adalah unjuran daripada Program Kemahiran dalam Minyak dan Gas (SOGA) yang dilaksanakan oleh JPDC di PIPC sejak 2013 dengan menyediakan kemahiran dan kecekapan kerja latihan, termasuk latihan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran untuk hampir 7,000 tenaga kerja di seluruh negara.

“Sejumlah 95 peratus daripada mereka berjaya mendapat pekerjaan dalam sektor hiliran minyak dan gas, petrokimia, kimia dan tenaga di PIPC dan lokasi lain di Malaysia. Di bawah CDP, JPDC menyasarkan untuk menyediakan syarikat serta perusahaan kontraktor Malaysia bersaiz kecil dan sederhana dengan kemahiran dan kecekapan pengurusan perniagaan.

“Ini bagi membolehkan mereka terus meningkatkan keupayaan dan kapasiti selain melayakkan mereka untuk menyediakan perkhidmatan kepada minyak dan gas hiliran, industri petrokimia serta kimia bukan sahaja di PIPC dan Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata 30 peserta yang memenuhi kriteria CDP akan menjalani latihan dalam dua kelompok, dengan 15 peserta dari kumpulan pertama akan dilatih pada 2024 dan 15 peserta lagi akan dilatih pada 2025.

SME Bank menyediakan pembiayaan lebih RM35 juta untuk menyokong 30 peserta ini.

“JPDC akan mencalonkan prospektif usahawan kepada SME Bank untuk penilaian dan penyertaan dalam program latihan dan bimbingan, dengan kerjasama CEDAR, anak syarikat SME Bank. Program-program ini akan memberi tumpuan dalam meningkatkan kecekapan keusahawanan dan pengurusan perniagaan tempatan, usahawan, dan kontraktor.

“Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, JPDC akan memberi kemas kini berkala tentang perkembangan industri kepada SME Bank untuk memudahkan proses membuat keputusan dan perancangan yang strategik,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Read Entire Article