Ekonomi : Kuskop, Sekretariat Smj Bincang Intervensi Tangani Miskin Tegar Sabah - Ewon

1 month ago 60

EKONOMI

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick (kanan) menyaksikan penyerahan replika cek bernilai RM 2 juta daripada Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (dua, kanan) kepada Pengarah Suruhanjaya Koperasi Sabah Matias Kundapin (kiri) pada Majlis Perasmian Pejabat Wilayah Pantai Barat Utara (PBU) Suruhanjaya Koperasi Malaysia di Merdeka Mall, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU, 22 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) akan berbincang mengenai intervensi menangani kemiskinan tegar di negeri ini, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick (PH-Kadamaian) dan Ahli Parlimen Penampang berkata perbincangan itu bagi merumuskan cadangan intervensi keusahawanan dan pendidikan seterusnya melengkapi inisiatif yang dirancang dalam mendepani isu itu.

“Saya ingin menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama bagi membangunkan sektor keusahawan melalui Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah seperti yang dihasratkan Tuan Yang Terutama (Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin).

“KUSKOP juga menyusuli amanat ini dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah bagi pembangunan komuniti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Ucapan Terima Kasih Kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin Atas Ucapan Dasar Kerajaan Negeri pada persidangan itu.

Ewon berkata pencapaian pelaburan asing dengan nilai keseluruhan RM26.7 bilion dalam tempoh antara 2021 hingga 2023, serta penurunan daftar miskin tegar kepada 12,555 isi rumah adalah dua pencapaian besar yang harus dihargai dan dibanggakan negeri ini.

Beliau turut menghargai persetujuan kerajaan Sabah menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Bersama bagi menyelaras agensi serta jabatan terkait fungsi pembangunan keusahawanan antara Persekutuan dan negeri agar memberikan impak maksimum kepada aktiviti ekonomi di Sabah.

Sementara itu, Datuk Dr Yusof Yacob (GRS-Sindumin) ketika membahaskan usul sama berkata sikap suka mengungkit tentang kegagalan menyediakan infrastruktur sempurna sebelum ini tidak akan memberi faedah kepada rakyat Sabah.

Sebaliknya beliau berkata kerajaan Sabah kini diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor perlu diberi dukungan kukuh dalam usaha menyediakan pelbagai infrastruktur untuk rakyat dan menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.

“Cukup-cukuplah menyalahkan satu sama lain. Sepatutnya beri sokongan dan bagi peluang kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah selesaikan masalah negeri ini,” katanya.

Yusof yang juga Pengerusi Kelab Backbenchers GRS juga meminta rakyat memberi masa dan memahami hasrat kerajaan negeri itu dalam menyelesaikan masalah yang ada terutamanya melibatkan bekalan air, elektrik dan jalan raya.

Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya kemudian menangguhkan persidangan itu ke hari esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Kata Kunci

Berita Berkaitan

Lagi Berita

Read Entire Article