Ekonomi : Dividen Bank Rakyat 15 Peratus Bagi Tahun Kewangan 2023 - Ewon

1 month ago 46

EKONOMI

KOTA KINABALU, 5 April -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengumumkan dividen dan prestasi kewangan kumpulan Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

KOTA KINABALU, 5 April (Bernama) -- Bank Rakyat mengumumkan dividen sebanyak 15 peratus dengan jumlah pembayaran RM424.62 juta kepada seramai 802,823 anggotanya yang layak bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pembayaran dividen itu akan dilakukan mulai hari ini.

Beliau berkata prestasi kewangan memberangsangkan itu membolehkan Bank Rakyat mengoptimumkan modal dan mengekalkan pembayaran dividen tinggi sebagai ganjaran kepada semua anggota dan pihak berkepentingan bank tersebut bagi sokongan berterusan mereka.

“Bersempena Ulang Tahun Bank Rakyat ke-70, bank turut mengumumkan dividen istimewa sebanyak dua peratus dengan jumlah pembayaran RM56.62 juta yang akan diagihkan berdasarkan pegangan saham layak pada 31 Dis 2023.

“Pembayaran dividen istimewa itu akan dilakukan pada September ini,” katanya pada majlis pengumuman dividen dan prestasi kewangan Kumpulan Bank Rakyat bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Dis 2023 di sini hari ini.

Ewon berkata Bank Rakyat masih lagi mengekalkan prestasi kadar dividen berjumlah dua digit untuk tempoh melebihi 20 tahun.

Beliau percaya pencapaian itu adalah hasil komitmen Bank Rakyat dalam melaksanakan mandat yang dipertanggungjawabkan untuk memperkasa kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggannya sekali gus memberi kesaksamaan dan kemakmuran kepada semua peringkat masyarakat.

Ewon berkata Kumpulan Bank Rakyat meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak dua peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM35.47 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan satu peratus bersamaan RM17.74 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi. 

“Jumlah sumbangan bagi tahun 2023 adalah sebanyak RM53.21 juta,” katanya, yang turut mengucapkan terima kasih kepada semua anggota dan pihak berkepentingan atas sokongan diberikan kepada Kumpulan Bank Rakyat sepanjang tahun ini.

Beliau juga berharap Kumpulan Bank Rakyat akan meneruskan usaha agar kekal relevan dalam perkembangan pantas industri perbankan dan terus menyumbang kepada masyarakat dari setiap peringkat.

Ini termasuk menyediakan penyelesaian perbankan yang komprehensif, mampan dan berdaya cipta, seiring dengan konsep Malaysia MADANI agar kemiskinan tegar dapat dinoktahkan, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Kata Kunci

Berita Berkaitan

Lagi Berita

Read Entire Article