Dana AIM bantu peniaga biskut kelapa bangkit

1 month ago 166

SUNGAI SIPUT: Pernah meraih jualan lebih RM20,000 sebulan, namun mengalami kemerosotan akibat pandemik Covid-19 selain berdepan masalah rumahtangga menyaksikan Norhayati Yahaya bangkit meneruskan perniagaan biskut kering dan biskut kelapa hasil bantuan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Walaupun masih dalam fasa pemulihan, akui wanita berusia 48 tahun itu, dia bertuah kerana selaku Sahabat Usahawan AIM agensi itu sentiasa ada semasa diperlukan.

Menerusi bantuan kewangan, bimbingan serta khidmat nasihat, perniagaan biskut kering dan biskut kelapa yang dijalankan di premisnya di Bangunan Pejabat Koperasi Kampung Perlop 2 di sini kembali menerjah pasaran.

“Saya diperkenalkan dengan AIM pada 2007 bermula dengan pembiayaan RM2,000 untuk berniaga kecil-kecilan. Itu permulaannya manakala perusahaan biskut kering pula dibuat pada 2016 setelah berpindah ke sini dari Ipoh.

“Sepanjang tempoh tersebut AIM menawarkan bantuan misalnya RM10,000 yang saya gunakan untuk membeli mesin dan kelengkapan semasa membesarkan perniagaan biskut. Ia lebih mudah berbanding kita berurusan dengan institusi kewangan yang mengenakan syarat pembiayaan yang ketat.

“Malah, proses bayaran balik AIM mudah,” ujarnya ketika ditemui.

Berdepan dengan jatuh bangun dalam perniagaan, Norhayati mendapat rentak kembali dengan menyusun operasi niaga menerusi pelbagai kaedah pemasaran hasil daripada kursus-kursus yang pernah diikuti di bawah AIM dan agensi-agensi lain.

Tiga produk paling laris ialah dua jenis biskut kering iaitu biskut lutut dan biskut jari dengan jumlah 2,000 pek sebulan manakala biskut kelapa pula 600 balang untuk dipasarkan di sebahagian negeri Perak.

Selain jualan di kedai-kedai beliau juga menerima tempahan bahulu daripada syarikat-syarikat dan agensi serta majlis perkahwinan dan perayaan dengan bantuan empat orang pekerja.

Dari aspek bantuan kewangan, Norhayati membuat dua pembiayaan bertindih sebanyak RM35,0000 dengan tempoh bayaran balik antara setahun hingga satu setengah tahun. – UTUSAN

Read Entire Article