Bank Rakyat catat keuntungan RM1.76 bilion bagi 2023

1 month ago 62

Kumpulan Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBTZ) lebih tinggi sebanyak RM1.76 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023, peningkatan 3.80 peratus berbanding RM1.70 bilion setahun lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu menyatakan peningkatan keuntungan disumbang terutamanya oleh asas yang kukuh dan fokusnya kepada aktiviti teras meskipun prospek ekonomi global yang tidak menentu dan persekitaran perbankan yang mencabar.

"Prestasi yang memberangsangkan ini dipacu oleh aktiviti-aktiviti pembiayaan dan pelaburan yang teguh, pertumbuhan kukuh akaun semasa, akaun simpanan dan akaun pelaburan (CASAIA), serta peruntukan yang mencukupi pada tahun semasa," katanya.

Pendapatan teras kumpulan melonjak sebanyak 12.90 peratus kepada RM6.67 bilion berbanding RM5.90 bilion pada tahun sebelumnya, disumbangkan oleh pertumbuhan kukuh dalam imbangan pembiayaan kasar sebanyak 3.82 peratus tahun ke tahun merentas semua segmen perniagaan.

Menurutnya, jumlah aset meningkat sebanyak 1.16 peratus kepada RM118.69 bilion berbanding RM117.33 bilion setahun lepas, didorong terutamanya oleh pertumbuhan kukuh dalam imbangan pembiayaan kasar, diimbangi oleh kedudukan pelaburan bersih yang lebih rendah.

"Walaupun persaingan sengit, kumpulan terus mendapat manfaat daripada kepelbagaian portfolio, terutamanya daripada Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan Pembiayaan Perniagaan-i," katanya.

Hasil daripada kepelbagaian ini, Bank Rakyat berkata segmen runcit pembiayaan kumpulan meningkat sebanyak 3.22 peratus kepada RM75.77 bilion dan segmen perniagaan mencatatkan pertumbuhan kukuh 16.57 peratus kepada RM8.18 bilion.

"Fokus utama bank adalah untuk memanfaatkan potensi yang belum diterokai dalam perniagaan dan operasi melalui transformasi digital untuk mencipta nilai jangka panjang bagi ahli dan pelanggan," katanya.

- Bernama

Read Entire Article