Am : Tawar 50 Peratus Diskaun, Jmku Aidilfitri Sungai Buloh Termurah Di Seluruh Negara

1 month ago 66

AM

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan (tiga, kanan) beramah mesra dengan penduduk setempat yang membeli ayam segar berharga RM5 seekor ketika jualan Happy Hour yang berlangsung selama satu jam pada Majlis Perasmian Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan Sempena Aidilfitri 1445H Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Kampung Paya Jaras hari ini.

SUNGAI BULOH, 30 Mac (Bernama) -- Diskaun sehingga 50 peratus bagi barangan keperluan dapur dan kelengkapan raya menjadi tarikan istimewa program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) sempena Aidilfitri yang diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Paya Jaras di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata pemberian diskaun khas itu bertujuan bagi meringankan beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat khususnya umat Islam yang sedang membuat persiapan Aidilfitri sekali gus, menjadikan program JMKU itu termurah di seluruh negara.

“Pada hari ini, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah mendapat kerjasama 12 operator koperasi untuk terlibat dalam program JMKU yang menawarkan harga barangan keperluan asas harian dengan potongan harga bermula 30 peratus.

“Di samping itu, saya selaku Ahli Parlimen Sungai Buloh akan menambah lagi peratus diskaun khas untuk warga Sungai Buloh supaya program JMKU ini akan menjadi yang termurah di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program JMKU sempena Aidilfitri anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SKM dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh hari ini.

Sebagai tambahan kepada penjimatan 30 peratus, Ramanan turut menyumbang insentif harga sebanyak 20 peratus semasa jualan ‘Happy Hour’ menjadikan kadar diskaun yang ditawarkan sehingga 50 peratus berbanding harga pasaran.

Antara barangan keperluan yang dijual pada program itu ialah ayam, telur, kuih raya, makanan sejuk beku, daging, sayur-sayuran dan pakaian.

Beliau turut memaklumkan Jualan MADANI itu akan diteruskan dan diadakan beberapa kali sepanjang tahun ini untuk warga Sungai Buloh.

“Saya sendiri akan menaja dengan memberi subsidi bagi memberikan lebih penjimatan untuk barangan keperluan yang akan dijual nanti,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyampaikan cek cura kemudahan pembiayaan dan bantuan daripada agensi-agensi di bawah KUSKOP berjumlah RM6.15 juta kepada 13 penerima koperasi dan usahawan bagi membiayai perkembangan perniagaan mereka.

Dalam perkembangan lain, Ramanan memaklumkan program JMKU tahun ini merekodkan jualan RM1.1 juta kepada 38 koperasi yang dilantik sebagai operator jualan setakat 26 Mac lepas dan sebanyak 13 program JMKU telah dilaksanakan di 12 kawasan Parlimen setakat ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Kata Kunci

Berita Berkaitan

Lagi Berita

Read Entire Article