Am : Kuskop Mula Tinjauan Tapak Projek Tamu Desa - Ewon

1 month ago 88

AM

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick ketika ditemui media pada acara tahunan SME Future Day 2024 di sini, hari ini.

SANDAKAN, 23 Mac (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memulakan tinjauan tapak pelaksanaan Projek Tamu Desa iaitu program baharu yang mula dilaksanakan tahun ini, kata Menterinya Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata tinjauan itu telah dilaksanakan di 18 tapak tamu mingguan termasuk di Kota Belud, Sipitang dan Sandakan.

“Pegawai dan agensi di bawah KUSKOP bersama Pegawai Daerah dan Juruteknik daerah berkenaan telah memulakan tinjauan di 18 tapak yang dipohon bagi mengenal pasti kesesuaian tapak dan kos perbelanjaan.

“Saya meminta tinjauan itu dilaksanakan bukan setakat mengenal pasti kos dan kesesuaian tapak tetapi memastikan tiada isu terkait dengan tanah tersebut yang menyebabkan projek Tamu Desa di kawasan berkenaan tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Penyampaian Bantuan Awal Pengajian Sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Pelancaran Koperasi Libaran Sabah Berhad sempena Program Usahawan MADANI di sini hari ini.

Ewon berkata kementeriannya memulakan Projek Tamu Desa itu bagi menaik taraf kemudahan keusahawanan di kawasan tamu sedia, sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.

“Walaupun sebahagian tapak tamu itu telah saya lawati sebelum ini namun tinjauan itu penting bagi memuktamadkan atau memperincikan kos dan kelengkapan lain diperlukan.

“Contohnya di Kota Belud, kita ada Tamu Mingguan sedia ada dan ada cadangan supaya tamu pada waktu malam diperkenalkan, maka keperluannya adalah untuk memasang tiang lampu solar,” katanya.

Dalam lawatan kerja sehari ke Sandakan, Ewon turut meluangkan masa meninjau tapak cadangan pembinaan Tamu Desa di Ulu Dusun, Libaran. 

Beliau berkata tapak itu sangat sesuai kerana bersebelahan dengan sekolah rendah dan klinik kesihatan. 

“Saya difahamkan penjaja kecil berjualan setiap hari Isnin hingga Jumaat menggunakan meja dan khemah sahaja. Bagaimanapun, saya meminta isu kebenaran membina Tamu Desa serta konsensus penubuhan koperasi penjaja dibincangkan oleh pemegang-pemegang taruh di sini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Kata Kunci

Berita Berkaitan

Lagi Berita

Read Entire Article