AIM beri sinar untuk teruskan perniagaan resort keluarga

1 month ago 95

MERSING: Di kala buntu memikirkan dari mana untuk mendapatkan wang untuk meneruskan resort diamanahkan bapa mentua, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menjadi agensi merungkai kebuntuan seorang wanita meneruskan perniagaan tersebut.

Norhasimah Roslan, 34, berkata, Teluk Sari Beach Resort dahulunya hanya mempunyai empat bilik, namun selepas diambilnya dan suami Zaharuddin Azhar, 33, kini terdapat 20 bilik.

Katanya, resort itu juga mempunyai kawasan tapak perkhemahan yang boleh memuatkan sehingga 300 khemah dalam satu-satu masa.

“Resort ini turun-temurun daripada bapa mentua yang dibuka sejak 2010. Selepas berkahwin bapa mentua meminta saya menguruskan dan mengambil alih ketika itu pada tahun 2013.

“Memang agak mencabar untuk saya mempromosikan resort pada masa itu supaya dikenali ramai kerana saya baru menceburkan diri dalam bidang ini.

“Untuk membesarkan lagi resort ini saya membuat pembiayaan dengan bank dan cukup hanya bagi pembinaan bilik dan saya mulai buntu bagi mencari modal membeli perabot dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Teluk Sari Beach Resort, Kampung Teluk Sisek, Endau di sini.

Ibu kepada enam orang anak itu berkata, Allahyarham ibu saudaranya kemudian memperkenalkan beliau kepada AIM yang ternyata amat membantunya dalam proses membangun semula resort berkenaan.

Katanya, dari permulaan sebanyak RM3,000 sehinggalah RM20,000 pembiayaan dibuat dengan AIM untuk membeli kelengkapan perabot, pendingin hawa untuk semua bilik di resort itu.

“Kebanyakan perabot dan langsir yang ada di bilik resort ini saya beli dengan wang hasil pembiayaan daripada AIM termasuk fasiliti pondok rehat untuk kemudahan pengunjung.

“Saya amat bersyukur kerana di kala memerlukan, AIM begitu mudah untuk memberikan pembiayaan hanya dengan syarat menjalankan projek perniagaan,” katanya lagi.

Jelasnya, dia mempromosikan resortnya dengan menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan juga TikTok. Tambahnya, bagi tempahan bilik pula pengunjung boleh menghubungi menggunakan aplikasi WhatsApp terus kepadanya. – UTUSAN

Read Entire Article