AIM bantu Norzafirah jadi usahawan burger berjaya

1 month ago 35

KEPALA BATAS: Pembiayaan modal daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengubah Norzafirah Abdul Rahim menjadi seorang usahawan produk daging burger yang berjaya di mana memperkenalkan kaedah panggangan menggunakan batu-batu yang dipanaskan bagi menghasilkan daging tanpa minyak yang lebih menyihatkan.

Menurut wanita berusia 36 tahun itu, beliau menceburi perniagaan bersama suami Mohamad Shahir bin Ahmad, memproses daging burger lembu, ayam, kambing dan ikan dengan jenama NZ Hot Stone Grilled Burger pada tahun 2011 hasil daripada dorongan ayahnya, Abdul Rahim Ahmad yang menjalankan perniagaan menjual mesin memproses makanan selama 35 tahun.

“Ayah memberi galakan untuk berniaga burger sebab ia adalah makanan yang popular dan mudah diperoleh di seluruh dunia, ini mungkin kerana faktor rasanya yang enak dan juga cara penyediaan yang mudah dan ringkas,” katanya.

Namun jelasnya, setelah 12 tahun merasai jatuh bangun perniagaan, beliau merasakan keperluan untuk menyediakan modal pusingan yang berterusan semakin perit dan mencabar.

Justeru, perkenalan dengan AIM pada tahun 2022 mengubah pintu rezekinya apabila modal diperoleh digunakan dengan sebaiknya untuk mengembangkan peniagaan.

“Setelah sekian lama berniaga, saya menghadapi masalah modal, di samping terpaksa menumpukan perhatian kepada keluarga pada ketika itu.

“Dengan bantuan AIM, kini saya dapat sampai ke tahap sekarang dan mampu berjalan sendiri,” ujarnya.

Bagaimanapun, Norzafirah berkata perjalanannya untuk bangkit dalam industri berkenaan bukan mudah kerana persaingan sengit daripada ramai usahawan produk burger.

“Antara cabarannya ialah untuk mengekalkan kualiti dengan harga yang berpatutan, burger kami menggunakan 90 peratus daging asli dan rasanya amat berbeza sebab dipanggang menggunakan batu-batu yang dipanaskan.

“Ini menyebabkan harganya 20 peratus lebih mahal, tetapi ia tidak menjadi halangan kepada penggemar burger asli yang sedap, selain itu kami juga menumpukan jualan kepada penjual burger berbanding kepada pengguna akhir,” jelasnya.

Kini katanya, NZ Hot Stone Grilled Burger telah mengembangkan perniagaannya dengan mempunyai sebuah restoran yang terletak di Plaza Ivory, Bukit Gambir, Pulau Pinang yang turut menjual makanan western dan minuman.

“Selain itu, pihak kami turut mempunyai enam buah foodtruck yang menjalankan perniagaan di sekitar Kedah, Pulau Pinang, dan Perak,” tambahnya. – UTUSAN

Read Entire Article